Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, permintaan terhadap bekalan air dijangka terus meningkat bagi tahun-tahun akan datang selaras dengan pembangunan pesat yang berlaku di negeri ini.

“Saya berharap Sains boleh bersama-sama dengan kerajaan negeri memacu Negeri Sembilan menjadi sebuah negeri maju dan diyakini oleh semua pihak.

“Walaupun kita sedia maklum bahawa Sains berdepan kekangan kewangan dalam setiap operasi, namun saya yakin Sains mampu bangkit memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam Sains di sini malam ini.

Yang turut hadir, Pengarah Sains, Wan Rasdi Wan Ismail.

Seramai 500 kakitangan Sains dari seluruh negeri ini hadir pada majlis itu yang menyaksikan seramai 74 kakitangan termasuk pesara syarikat itu menerima anugerah masing-masing.

Pada majlis itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Sains turut merasmikan aplikasi mobil Sains.

Sementara itu, Wan Rasdi berkata, Sains telah berjaya menurunkan kadar air tanpa hasil (NRW) kepada 31.1 peratus tahun lalu berbanding 53 peratus semasa syarikat itu ditubuhkan pada tahun 2009.

“Ini pencapaian yang amat membanggakan bagi syarikat dan kami akan berusaha untuk menurunkan peratusan ini serta terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna,” katanya. - UTUSAN ONLINE