AMINUDDIN HARUN
AMINUDDIN HARUN

Menteri Besar, Aminuddin Ha­run berkata, lokasi bagi pembinaannya telah dikenal pasti dan ia dibuat berikutan penutupan RTC Rembau.

Menurut beliau, RTC di Jempol lebih strategik kerana memudahkan penduduk luar bandar untuk datang ke Seremban sedangkan jarak Rembau ke Seremban cuma sekitar 20 kilometer.

“Lebih baik kita bina RTC di Jempol untuk kemudahan penduduk luar bandar khususnya warga Felda. Kita sedang mohon dan harap dapat dibangunkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Modal Insan Terbilang HEM dan Kokurikulum, Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Perasmian Gelanggang Futsal Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan di sini.

Dalam perkembangan lain, Aminuddin berkata, kerajaan negeri hanya akan menyalurkan peruntukan bagi tujuan lawatan sambil belajar kepada sekolah yang benar-benar cemerlang dan berjaya mencatat kejayaan.

Jelasnya, keputusan itu di­buat berikutan pihaknya menerima banyak permohonan daripada sekolah yang menganjurkan program seumpama itu sebagai acara tahunan namun ia dilihat gagal mencapai matlamatnya.

“Banyak sekolah memohon sumbangan sedangkan ki­ta sedia maklum ia tidak melibatkan semua pelajar. Ada mahu ke Langkawi,. Sabah, Sarawak, malah ke Indonesia.

“Kadang-kadang tidak ramai murid pergi, sebaliknya guru lebih ramai. Saya hanya akan beri peruntukan jika sekolah itu menunjukkan prestasi cemerlang sebagai satu bentuk anugerah atau inisiatif kepada mereka.

“Ada perkara lain yang boleh diberi tumpuan seperti kokurikulum, akademik dan pengukuhan sahsiah pelajar dan semua itu kita akan bantu,” katanya.

Ditanya jumlah peruntukan yang biasanya dimohon sekolah, Aminuddin berkata, ia melibatkan antara RM5,000 hingga RM20,000 bergantung kepada lokasi yang ingin dilawati pihak sekolah.