Rata-rata mereka beranggapan, sebaik-baiknya forum ‘Ibu Soko di Negeri Sembilan’ itu dirasmikan oleh mereka yang memahami dan dekat dengan adat yang merangkumi pelbagai aspek dalam kehidupan masyarakat Melayu negeri ini.

Salah seorang pemilik akaun Facebook, Ghani Saari melahirkan rasa hairan apabila seorang bukan Melayu dipilih merasmikan program berkaitan adat Melayu.

“Di Jempol takkan tak ada yang lebih layak dalam hal ini. Makin pelik aku tengok sekarang ini. Sampai aku nak tergelak tengok opera ini semua.

“Kita kena ingat, ada daulat dan keramatnya institusi undang ini,” tulisnya dalam laman Facebook.

Bagi Rush Eid Jelebu, adalah kurang molek individu yang merasmikan program itu dari kalangan yang tiada pengetahuan dan kelayakan mengenai adat istiadat Melayu.

“Soal penghargaan beliau untuk menaikkan imej istiadat itu bab lain. Adalah lebih indah beliau dijemput hadir sama dan dirasmikan oleh Exco yang berkaitan. Harus dipandang lebih luas dan sensitif,” luahnya.

Abd. Razak Che Harun pula menulis : “Biar mati anak jangan mati adat. Adat kita orang Melayu, biarlah orang Melayu yang rasmikan. Saya bukanlah anti-DAP tapi macam tak kena pula, benda berkaitan Adat Perpatih, adat kita, orang lain pula rasmikan.”

Bagi Zahar Mohd. Nor, forum itu sewajarnya dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Mohmad Nazarudin Sabtu yang merupakan ADUN Pilah.

“Adat pun panggil DAP yang rasmi. Takkan tak boleh jemput sekurang-kurangnya Dato Penghulu Luak Jempol, kerana buat di kawasan beliau. Ini bukan ke fungsi Exco Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu Negeri Sembilan?,” katanya.

Forum anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan itu akan diadakan di Teratak Za’aba, Batu Kikir, Kuala Pilah pada pukul 8.30 pagi.

Selain Nicole yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal dan Kebajikan negeri, forum itu dijangka dihadiri Nazarudin dan para pemimpin adat. - UTUSAN ONLINE