Pengarah Urusan Kumpulan syarikat itu, Huan Woon Han berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada pencapaian prestasi jualan luar biasa jualan oleh syarikat itu berjumlah RM662 juta tahun lalu daripada projek Vision City di Nilai.

Katanya, untuk projek Youth City sahaja, syarikat itu telah menerima tempahan sebanyak 2,701 unit bernilai RM1.08 bilion pada tahun lalu yang akan disusuli dengan 1,043 unit lagi.

"Youth City menerima sambutan hangat sejak pelancaran pertama pada Disember 2017 dengan kebanyakan pembeli adalah penduduk di Nilai yang tertarik dengan konsep pembangunan khusus, reka bentuk kontemporari, kemudahan gaya hidup lima bintang, internet pantas dan sambungan Wifi; kemasan berteknologi tinggi serta masa menunggu yang singkat.

"Youth City adalah fasa pertama daripada pembangunan pelbagai peringkat dalam Vision City yang akan mengambil masa antara lapan hingga 10 tahun untuk disiapkan sehingga benar-benar mengubah Nilai menjadi bandar antarabangsa terkemuka di rantau ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina Kumpulan GD di sini hari ini.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, J. Arul Kumar.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Kumpulan GD, Ben Wong.

Woon Han berkata, Kumpulan GD melihat banyak peluang dalam kesukaran dan kepelbagaian. 

Ujarnya, mereka tetap positif dalam melaksanakan beberapa projek pembangunan besar yang bukan sahaja dapat membantu mempromosikan pemilikan rumah tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk golongan muda. - UTUSAN ONLINE