Pengerusi Jawatankuasa Ber­tindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru negeri, Teo Kok Seong berkata, kerjasama para peniaga dalam hal berkenaan amat penting bagi memacu industri pelancongan negeri ini.

“Peniaga gerai juga mesti ada tanggungjawab menjaga kebersihan. Kalau pantai dan gerai sama-sama bersih, ia bukan saja baik untuk pelancongan tetapi juga menjana perniagaan kerana ramai yang akan datang menjamu selera.

“Salah satu perkara penting yang dititikberatkan oleh Menteri Besar (Aminuddin Harun) adalah aspek kebersihan negeri yang perlu diberi perhatian termasuk di Port Dickson,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat kerja-kerja pembersihan pantai Telok Kemang di sini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat SWM ENvironment Sdn. Bhd. (SWM), Mohd. Norlisam Mohd. Nordin.

Mengulas kebersihan pantai Port Dickson, Kok Seong berkata, beliau berpuas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang dibuat oleh SWM bermula pukul 6 pagi seperti diarahkan kerajaan negeri baru-baru ini.

“Apabila kerja dibuat awal maka semasa pelancong datang tiada lagi pekerja menyapu sampah dan kawasan sudah bersih. Saya berjumpa dengan beberapa pelancong asing dan tempatan yang berpuas hati dan akan datang semula ke sini.

“Kerjasama SWM, pihak ber­kuasa tempatan dan kerajaan negeri amat perlu untuk kita tingkatkan tahap kebersihan di Port Dickson,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kok Seong berkata, senarai nama ketua-ketua kampung di seluruh negeri ini akan diumumkan pada Selasa ini.

“Senarai sudah disediakan dan hanya menunggu masa untuk diumumkan. Yang membanggakan kita walaupun belum ada pengumuman, terdapat bakal ketua kampung yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa dibayar elaun,” katanya.