Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerjasama seumpama itu dapat mengelak pencemaran dan menjadikan Nilai kawasan yang selamat didiami.

"Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan baru-baru menemukan masalah pencemaran di sebuah kilang dan ia telah diarahkan ditutup.

“Saya minta rakyat menyalurkan maklumat mengenai pencemaran supaya tindakan segera boleh diambil," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai dan Parlimen Seremban di dewan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) di sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Razali Ab. Malik; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Dewan Undangan Negeri Nilai, J. Arul Kumar.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, Nilai akan mengalami pembangunan rancak sekiranya cadangan untuk mewujudkan sebuah stesen Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menjadi kenyataan.

Katanya, kerajaan negeri juga mahu melihat pusat barangan borong, Nilai 3 yang pernah popular satu ketika dulu kembali menjadi ikon.

"Kita hendak lihat ramai pelancong datang ke Nilai 3 dan juga kawasan baharu yang dirancang ketika ini.

“Saya yakin Nilai akan menjadi pusat perdagangan, perindustrian serta perniagaan yang menjadi tumpuan pada masa akan datang," ujarnya.