Wakil rakyat DAP itu berkata, beliau akan menarik diri daripada merasmikan program itu sekiranya Undang luak atau Penghulu luak tidak bersetuju dengan rancangan asal penganjur majlis tersebut.

“Saya akur jika pihak berkenaan berpendapat tidak sesuai dan bukannya semata-mata kerana tunduk kepada retorik pembangkang. Saya harap perkara ini tidak dipolitikkan,” ujarnya di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas komen dalam media sosial yang mempertikaikan jemputan kepadanya bagi merasmikan forum berkenaan di Teratak Za’ba di Batu Kikir, Kuala Pilah pada 6 Ogos ini.

Sebaran program itu oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan mendapat komen negatif warganet dengan alasan Nicole adalah pemimpin DAP.

Antaranya ialah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berpendapat program itu sepatutnya terletak di bawah fungsi seorang lagi ahli Exco iaitu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Mohamad Nazaruddin Sabtu.

Menurut Nicole, beliau hanya ingin mempraktikkan semangat kebersamaan termasuk dalam hal ehwal Adat Perpatih yang menjadi amalan adat dan budaya serta ikon penting di negeri ini.

Ujarnya, beliau berharap adat tersebut dapat disebar luas kepada semua penduduk di negeri ini dan bukan kepada orang Melayu sahaja.

“Saya hanya setuju menerima jemputan merasmikan forum itu kerana ingin mempraktikkan semangat kebersamaan.

“Saya adalah Ahli Exco berkaitan wanita, keluarga dan kebajikan untuk semua kaum dan bukannya hanya terhad untuk kaum Cina semata-mata,” katanya. - UTUSAN ONLINE