Guru Besarnya, Abd. Karim Shafie berkata, program seumpama itu kerap diadakan di daerah ini namun hanya membabitkan kanak-kanak tadika dan pelajar sekolah menengah.

“Murid sekolah rendah juga perlu diberi pendedahan secara praktikal tentang haji dan umrah supaya dapat menanam cita-cita untuk mereka menunaikan rukun Islam kelima itu.

“Di peringkat sekolah rendah, murid telah diberi pendedahan tentang ibadat haji melalui teori ringkas, namun pembelajaran teori tanpa disokong oleh pratikal menjadikannya kurang berkesan.

“Selain murid, program turut disertai 17 kakitangan sekolah yang telah melalui pengalaman melaksanakan program simulasi haji,” katanya ketika ditemui di sekolah itu baru-baru ini.

Program telah dirasmikan wa­kil Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kuala Pilah, Muhamad Halizani Hashim. Yang turut hadir pengurus Tahung Haji Kuala Pilah, Idris Sidek.

Abd. Karim memberitahu, program sehari itu turut mendapat kerjasama Tabung Haji Kuala Pilah serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Seri Pilah.

Jelasnya, peserta merasai pengalaman sama yang akan dilalui jemaah haji sebenar bermula dari awal berangkat dengan bas, pemeriksasan pasport di kaunter imigresen dan seterusnya manaiki kapal terbang ke Tanah Suci.

“Dengan bantuan mutawif bertauliah, Syed Maarof Syed Akil, murid-murid turut diajar tatacara pemakaian kain ihram, melakukan amali wajib dan rukun haji seperti tawaf, melontar jamrah, wukuf dan sebagainya.

“Simulasi juga menjadi lebih mudah untuk difahami oleh murid yang terlibat apabila Ta­bung Haji menyediakan replika Kaabah dan tempat melontar ketiga-tiga jamrah,” jelasnya.

Salah seorang peserta, Norizan Alyia Abdullah, 6, berkata, dia gembira kerana dapat merasai pengalaman menjadi ‘jemaah haji’ bersama rakannya yang lain di sekolah itu.

“Selalunya saya hanya melihat orang pergi haji di dalam televisyen tetapi hari ini saya dan kawan-kawan dapat buat sendiri,” katanya.

Muhammad Amirul Haziq Mohamad, 12, pula berkata, pertama kali memakai kain ihram adalah satu pengalaman yang paling berharga buatnya.

“Kain ihram yang diberikan kepada kami adalah kain ihram yang sebenar dan kami turut diajar cara memakainya oleh mutawif yang berpengalaman. Ini program yang istimewa kerana dapat memberi kefahaman kepada murid-murid,” katanya.