Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr. Zainudin Mohd. Ali berkata, penyediaan tempat menderma darah di pusat beli belah dapat membantu memudahkan orang ramai menyertai kempen derma darag tanpa perlu datang ke hospital.

“Alangkah baik jika pihak pengurusan dapat memainkan peranana sosial mereka dengan menyediakan tempat khas dan terlibat secara lebih aktif dalam kempen menderma darah.

“Ini kerana daripada pemerhatian kami dapati jumlah penderma darah jauh lebih tinggi di tempat-tempat awam berbanding yang datang ke Pusat Derma Darah Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) atau mana-mana hospital kerajaan,” katanya.

Zainudin berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Penghargaan Penderma Darah dan Penganjur Kempen Derma Darah peringkat negeri 2018 di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.

Yang turut hadir, Pengarah HTJ, Dr. Ariffin Mohamad.

Beliau berkata, tahap keseda­ran orang ramai untuk menderma darah kini menunjukkan peningkatan yang positif pada setiap tahun khususnya dalam kalangan golongan muda.

“Kami terima banyak permintaan daripada masyarakat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menderma dan mengadakan kempen derma darah. Setiap kali kempen diadakan, kami menerima sekurang-kurangnya 20 orang penderma.

“Ini perkembangan yang baik kerana mencapai sasaran ditetapkan. Kami juga cuba sedaya upaya memberikan maklum balas dan tindakan yang baik apabila menerima permintaan untuk mengadakan perkhidmatan itu,” ujarnya.