Entah di mana silapnya, tempat yang sebelum ini popular untuk makan tengah hari dalam kalangan penduduk sekitar semakin kurang menjadi pilihan pelanggan.

Tinjauan baru-baru ini mendapati banyak gerai ditutup dan tidak beroperasi serta situasi agak lengang kerana tidak ramai yang singgah di kawasan itu.

Difahamkan di bangunan ber­nilai RM8.7 juta yang mempunyai 60 gerai itu hanya terdapat kurang daripada 20 peniaga yang masih berniaga, manakala selebihnya sudah tutup dan berpindah ke tempat lain.

Menurut salah seorang peniaga makanan yang tidak mahu dikenali, walaupun kurang pe­langgan dia tiada pilihan lain dan terpaksa berniaga kerana itu adalah punca pendapatan utamanya.

Katanya, dia berniaga di situ lebih 10 tahun bermula dari tapak lama di kawasan berhampiran sehinggalah medan selera itu dibuka.

“Fasiliti yang terdapat da­lam bangunan cantik dan jauh le­bih baik, cuma saya tidak pasti kenapa pengunjung ti­dak ramai seperti di tapak la­ma dahulu.

“Terdapat banyak gerai dan pilihan makanan di sini dan de­ngan persekitaran selesa sepatutnya ia boleh menarik keha­diran pelanggan,” katanya.

Jelasnya lagi, jumlah pengunjung dari hari ke hari sema-kin berkurangan namun dia percaya keadaan itu dapat diatasi dengan mengadakan pelbagai aktiviti promosi atau program tertentu bagi mengembalikan kemeriahan Medan Selera Ampangan.

“Saya sebagai peniaga di sini sangat mengalu-alukan jika pembaharuan dilakukan, tetapi biarlah ia dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua belah pihak iaitu peniaga dan pengunjung, “ katanya.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Ziah, 55, mengakui pendapatannya agak terjejas sejak kebelakangan ini.

Beliau juga berasa terbeban dengan kadar sewa gerai sebanyak RM480 sebulan di medan selera itu dan terpaksa menaikkan harga makanan untuk menampung kos sewa.

“Sebelum ini saya membayar sewa tidak sampai RM80 sebulan di gerai lama tetapi di bangunan baharu ini mencapai RM480 sebulan tidak termasuk bil utiliti lain namun pendapatan tidak setimpal dengan kos tersebut.

“Beberapa peniaga mengambil keputusan menutup perniagaan sebab mengalami kerugian. Setakat ini saya masih mampu bertahan tetapi tidak tahu berapa lama lagi.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan peniaga bagi memeriahkan tempat ini dan menarik lebih ramai pengunjung untuk menjamu selera di sini, “ katanya.