Tahun ini juga tidak terkecuali apabila ia turut dihidangkan dalam bufet Ramadan di hotel itu yang bertemakan ‘Nostalgia Hidangan Desa’.

Menurut Ketua Cef hotel itu, Sarimah Ghazali, antara menu yang diketengahkan ialah nasi serai, nasi hujan panas, asam pedas ikan parang, daging masak hitam, sambal udang petai, ayam opor, ikan patin tempoyak dan banyak lagi.

“Sudah tentu kibas golek sentiasa mendapat sambutan dan permintaan yang tinggi saban tahun. Ini kerana menu kibas agak sukar didapati dan kelainan ini menyebabkannya menjadi rebutan pelanggan.

“Jadi tidak hairanlah sekiranya ramai pelanggan yang datangnya dari utara, selatan mahupun pantai timur tanah air mahu menikmatinya.

“Kami mengetengahkan konsep gerai. Ada banyak deretan gerai menghidangkan juadah-juadah enak seperti martabak, sup kambing kawah, mi rebu dan mi lambak, som tam dan lain-lain,” katanya di sini baru-baru ini.

Sarimah memberitahu, masakan tradisi Negeri Sembilan juga tidak dilupakan.


SIPUT sedut masak lemak cili pasti memikat selera semasa berbuka puasa. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

“Kami menyediakannya di salah satu gerai. Menu seperti masak lemak cili api, ikan keli berlada dan pucuk ubi tempoyak pasti membuka selera,” katanya.

Beliau memberitahu, istimewanya bufet Ramadan kali ini, pihak hotel juga menyediakan sembilan jenis pilihan aiskrim yang diilhamkan daripada resepinya sendiri.

Selain itu, solat tarawih yang dipimpin oleh imam terpilih juga akan diadakan di surau yang disediakan untuk keselesaan umat Islam.


PELBAGAI jenis pencuci mulut yang menyelerakan untuk pilihan pelanggan. - UTUSAN ONLINE/AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN

Harga bufet bermula RM29.50 untuk kanak-kanak dan warga emas, manakala RM60 bagi dewasa.

Sebarang tempahan dan pertanyaan boleh menghubungi talian 06-6487888 atau e-mel kepada [email protected] - UTUSAN ONLINE