BAKRI SAWIR
BAKRI SAWIR

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Bakri Sawir berkata, pihaknya berhasrat menukar cara makan orang ramai dengan menghidangkan buah-buahan terlebih dulu sebelum sajian utama dihidangkan.

Katanya, amalan itu elok untuk kesihatan individu selain menepati kaedah sunnah nabi bagi umat Islam.

“Amalan mengambil buah-buahan sebelum memakan nasi boleh kita lakukan pada majlis rasmi yang dianjurkan oleh kerajaan negeri atau majlis yang boleh kita kawal.

“Tetapi kita amat galakkan setiap individu melakukan amalan yang sama secara sukarela,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Lebihkan Memakan Buah-Buahan Tempatan peringkat sekolah-sekolah Negeri Sembilan 2018 di sini hari ini.

Lebih 300 murid dan pelajar dari 42 sekolah rendah dan 38 sekolah menengah di negeri ini menyertai kempen anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan negeri. - UTUSAN ONLINE