Katanya, beliau telah mencadangkan supaya jawatankuasa kelab itu melarang penjualan minuman berkenaan baru-baru ini dan mereka bersetuju dengan saranan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada ahli-ahli kelab golf milik kerajaan negeri itu membuat keputusan dalam mesyuarat agung luar biasa yang dijangka diadakan Ahad ini.

“Kalau mereka nak jual (arak), saya tak ada halangan tetapi saya akan undur diri. Saya sudah cakap dalam mesyuarat dua kali. Lagipun saya tak main golf, saya diminta jadi presiden.

“Sebagai exco agama Islam, saya tak boleh berada di situ. Lagipun yang minum di situ tak ramai. Ia bukan pendapatan besar, sebelum ini ia pernah tidak dijual di kelab tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Interaksi Pemimpin Bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, gesaan supaya arak tidak dijual dibuat selepas mengambil kira sensitiviti umat Islam yang rata-rata menghuni taman-taman perumahan berdekatan kelab tersebut.

“Kelab itu terletak di Ampangan, berhampiran Masjid Kariah Paroi Jaya, Taman Paroi Jaya, Taman Golf Heights, hampir 100 peratus dikelilingi penduduk Melayu. Ia tidak sesuai dan sensitiviti kena diutamakan,” katanya.

Aminuddin berkata, keputusan untuk mengundur diri bukan bermakna mengalah sebaliknya beliau mahu menyerahkan kepada kira-kira 1,000 ahli berbayar kelab itu membuat keputusan berhubung isu berkenaan. - UTUSAN ONLINE