Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, mayat Mahusin Abd. Rahim ditemukan terbaring di atas sebuah tilam dalam salah sebuah rumah di perumahan berkenaan kira-kira pukul 8.30 pagi.

Beliau berkata, mangsa yang bertugas di Klinik Kesihatan Lukut ditemukan oleh rakannya yang datang ke rumah itu untuk mencarinya kerana dia dipercayai tidak hadir bertugas sejak Jumaat lalu.

“Mayatnya dijumpai oleh rakannya yang datang ke rumahnya. Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 72 jam lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Zainudin berkata, pada masa ini, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut namun siasatan lanjut masih dijalankan termasuk proses bedah siasat. – UTUSAN ONLINE