Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, ini kerana pegawai imigresen telah diminta supaya menahan mana-mana individu yang berbuat demikian.

“Jangan main-main dengan kami. Jangan terfikir untuk memberi rasuah kepada pegawai imigresen. Ada individu yang memberikan rasuah ini telah djpenjarakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kadet Kursus Asas Pegawai Imigresen Siri 4/2017 di Akademi Imigresen Malaysia di Port Dickson di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) jabatan itu, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Pengarah Akademi Imigresen Malaysia, Mohd. Jasmi Mohd. Juwahir.

Seramai 239 kadet melafazkan ikrar tersebut yang diperkenalkan buat pertama kali kepada pegawai baharu kursus berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, Mustafar mengingatkan para pegawai supaya mengekalkan JIM sebagai jabatan bermaruah dan menegaskan rasuah bukan budaya jabatan itu.

“Ingatlah bahawa masyarakat sentiasa memandang kita. Pakaian seragam yang kita pakai ini adalah amanah.

“Sebagai barisan hadapan di pintu masuk negara, kita tidak akan berkompromi dengan kedaulatan dan keselamatan negara,” ujarnya.

Mengenai majlis IRB itu, Mustafar berkata, ia merupakan usaha bagi membentuk minda pegawai muda supaya menjauhi rasuah sebelum memulakan tugas dengan jabatan tersebut. - UTUSAN ONLINE