Wan Rasdi Wan Ismail

Ini berikutan aduan orang ramai sejak 3 September lalu mengenai kualiti air berwarna kekuningan apabila bekalan air yang dirawat dari Loji Sawah Raja yang disalurkan kepada pengguna menerusi dua kolam di Rembau dan satu kolam di Port Dickson.

Pengarah Sains, Wan Rasdi Wan Ismail menjelaskan, setakat ini punca sebenar mengenai prkara itu masih lagi dijalankan biarpun punca air yang diperoleh untuk diproses adalah dari sumber yang sama.

“Perubahan warna pada air adalah akibat daripada tindak balas kimia dan Sains pada masa ini sedang menganalisa secara terperinci bahan kimia yang sesuai untuk digunapakai dalam proses rawatan air di loji berkenaan.

“Namun daripada siasatan awal oleh Unit Kualiti Air Sains yang dilakukan di kawasan aduan menunjukkan air terawat masih memenuhi piawaian air minuman kebangsaan yang disahkan oleh Jabatan Kesihatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Sains dekat Seremban 2 dekat sini hari ini.

Katanya, Sains mengambil inisiatif dengan menghantar contoh air terawat dari Loji Rawatan Air Sawah Raja, untuk kajian makmal luar di Kuala Lumpur dan keputusan laporan mengenai perkara itu akan diperoleh esok.

Malah, katanya, pihaknya menjalankan pelan jangka pendek dengan mengadakan proses pembersihan di kawasan terlibat bagi membantu mengurangkan tindak balas kimia dalam saluran paip berkenaan sehingga ke rumah pengguna.

“Kita menjangkakan lebih 13,000 pemegang akaun menghadapi masalah berkenaan melibatkan tiga kawasan,” katanya.

Justeru, kata beliau, orang ramai dan pengguna kawasan terlibat bersabar dan memahami situasi yang dialami oleh Sains pada masa ini selain memohon kerjasama pengguna di kawasan berkenaan untuk sama-sama membantu memberikan maklumat.