SEREMBAN 20 Sept. - Sudah sampai masanya kerajaan negeri mempertimbangkan gesaan penduduk supaya Jalan Sikamat di sini dibesarkan untuk menampung kesesakan lalu lintas yang semakin serius.
Kesesakan yang berlaku juga menjadikan beberapa kawasan dan persimpangan di sepanjang laluan itu lokasi kemalangan dan berbahaya kepada orang ramai.
Antara kawasan yang mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak adalah di sekitar persimpangan lampu isyarat berdekatan Kem Rejimen 4 Artileri Diraja, Kem Sikamat.
Paling terjejas adalah pelajar dan guru di tiga buah sekolah yang terletak di laluan tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah, SMK Dato’ Haji Mohd. Redza dan Sekolah Menengah Sains Seremban.
Jumlah pelajar di tiga sekolah berkenaan dianggarkan lebih 2,000 orang dan jarak yang dekat antara satu sama lain menyebabkan ibu bapa terpaksa berdepan dengan kesesakan terutama semasa menghantar dan mengambil anak di sekolah.
Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Tuanku Ampuan Durah, Hamdan Othman, masalah yang berlarutan sejak sedekad lalu itu masih membelenggu rakyat.
“Jalan yang digunakan hari ini tidak pernah dibesarkan sama seperti tahun 1970-an ketika saya bersekolah di SMK Tuanku Ampuan Durah.
“Sedangkan jumlah penduduk di Sikamat semakin bertambah dan terdapat lebih 60 taman perumahan di sini. Jalan ini sesak terutama pada waktu pagi dan bertambah kritikal pada waktu tengah hari ketika ibu bapa menunggu anak masing-masing keluar dari sekolah.
“Jalan sempit dan sibuk ini telah meragut enam nyawa pelajar.
“Tahun ini sahaja sudah dua pelajar maut semasa menunggang motosikal dalam perjalanan ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurut Hamdan, pada tahun 2014, pihak PIBG sekolah berkenaan pernah membangkitkan isu tersebut kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memaklumkan bahawa jalan tersebut di bawah bidang kuasa Majlis Perbandaran Seremban.
Beliau berharap, usaha melebarkan jalan berdekatan dengan tiga buah sekolah dan Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar sejauh kira-kira dua kilometer itu dapat dilakukan bagi menangani masalah tersebut.
Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Ismail Zaid berkata, pemandu kereta sukar untuk memotong kerana kelebaran jalan dua hala yang terlalu sempit.
Sehubungan itu, beliau berharap Menteri Besar, Aminuddin Harun prihatin dengan masalah tersebut kerana kawasan itu berada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat yang dimenanginya sejak tahun 20018.
“Kalau dulu beliau wakil rakyat biasa tetapi kini sudah bergelar Menteri Besar, pastinya beliau faham benar masalah yang ditanggung penduduk di kawasan itu,” katanya.