Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, ia selaras dengan usaha universiti berkenaan untuk menjadi institusi ilmu yang terkehadapan berteraskan pengajian Islam bagi menyelesaikan isu-isu masyarakat dan Islam.

Ujarnya, hasil kejayaan penganjuran i-Inova yang dimulakan sejak lima tahun lalu banyak membantu universiti itu mengadakan beberapa program termasuk menyertai pertandingan di negara ini terma­suk di peringkat antarabangsa.

“Pada tahun ini, USIM telah menghantar 12 penyertaan dalam pertandingan National Research and Innovation Competition (NRIC) di Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang dengan meraih tiga pingat emas, empat perak dan dua gangsa sekali gus menyaksikan USIM menjadi juara keseluruhan NRIC 2015.

“Kini, tiga produk pelajar USIM sedang dipertandingkan di British Invention Show di London. Tiga produk tersebut adalah Advance Hospital Attire (Hurma), program Cinta Ilmu Masyarakat Orang Asli (Duta Jauhar) dan Novel Marine Bio-Waste Active Ultrafiltration Membrane For Dyes Waste Water,” katanya.

Beliau berucap pada majlis Perasmian Penutup Ekspo i-Inova ke-6 USIM 2015 yang disempurnakan oleh Pro-Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di Dewan Tuanku Canselor, USIM di sini semalam.

Terbaharu, universiti tersebut turut menghantar 15 penyertaan ke Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa (Pecipta) yang akan berlangsung pada 7 Disember depan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Musa berkata, menerusi penganjuran i-Inova 2015 ini, adalah diharapkan ia akan menjadi pemangkin kepada penjanaan idea kreatif dan inovatif serta mempunyai daya pasaran komersial tinggi.

“Usaha ini seterusnya mampu menjana ekonomi negara dengan penghasilan produk-produk yang dimanfaatkan oleh masyarakat. Dari idea kreatif dan inovatif, bakal usahawan Muslim mampu dilahirkan dengan usaha tekun dan bersungguh-sungguh,” ujarnya.

Penganjuran i-Inova 2015 dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia yang berlangsung selama dua hari itu disertai oleh 72 pempamer.

Peserta terdiri daripada penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini, kakitangan akademik dan penyelidik daripada institusi penyelidikan dan industri di Malaysia serta dari luar negara.