Pengarahnya, Mohd. Zaidi Ramli berkata, pemilik restoran dipercayai kurang menyedari kepentingan mendapatkan sijil halal yang sah.

“Terdapat kira-kira 150 restoran mamak beroperasi di negeri ini dan hanya satu yang memiliki sijil halal.

“Pemilikan sijil halal ini penting bagi memastikan kualiti penyediaan makanan termasuk kandungan dalam makanan yang digunakan itu bersih, selamat dan yang penting mengikut syarak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kempen Cakna Halal: Moh Poie Restoran Halal di Restoran Nasi Kandar Pelita Seremban Gateway di sini hari ini. Yang turut hadir Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad.

Mohd. Zaidi berkata, bagaimanapun pihaknya tidak menghalang orang ramai mengunjungi restoran terbabit kerana itu adalah hak masing-masing.

“Saya tidak kata yang tiada sijil halal itu mengunakan barang haram, tetapi kita tidak tahu dari segi penyediaan makanan, kualiti kebersihan premis serta bahan apa yang digunakan dalam masakan.

“Kita tidak tahu kerana mereka ini tidak diaudit berbanding yang ada sijil halal sentiasa dipantau pengunaan bahan-bahan masakan serta kebersihan premis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru restoran makanan Melayu di negeri ini supaya mendapatkan sijil status halal kerana rekod menunjukkan tiada satu pun premis terbabit memilikinya.

Jelasnya, walaupun ramai pengguna yakin status halal makanan di restoran berkenaan namun sijil berkenaan dapat menguatkan lagi jaminan kualiti penyediaan makanan dan kebersihan.

Sementara itu, katanya, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, sebanyak lima aduan diterima JHEAINS berkenaan mengenai keraguan persijilan halal di premis makanan. - UTUSAN ONLINE