Program sehari yang diadakan buat tahun ketiga itu memberi peluang orang ramai menyertai lawatan ke kilang pengeluar minuman probiotik itu dan menyertai permainan serta peraduan yang dianjurkan.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Perniagaan Antarabangsa Yakult Honsha, Jepun, Yoshihiro Kawabata berkata, acara tersebut merupakan sebahagian daripada usaha mewujudkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang pentingnya probiotik dan kesihatan sistem pencernaan.

“Kami menganggap pesta ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat syarikat untuk menyumbang kepada kesihatan dan kebahagian rakyat Malaysia.

“Kami menjual Yakult di negara ini sejak tahun 2004 dan berterima kasih atas kepercayaan dan keyakinan terhadap produk syarikat ini,” katanya semasa pelancaran Fiesta Yakult di sini.

Program itu dilancarkan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Maznah Abu Bakar. Yang turut hadir Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn. Bhd., Hiroshi Hamada; Pengarah Pengeluaran, Yasuhiko Okubo dan pengurus kilang, Md. Suhaimi Yahaya.

Antara aktiviti yang diadakan ialah penampilan istimewa Ultraman Greed, persembahan komedi Zenjiro dan Sushi Lemak, pera­duan cosplay, persembahan tarian Soran Bushi, peraduan mewarna dan peraduan foto Purikura yang menawarkan hadiah percutian ke Jepun.

Pengunjung juga berpeluang beramah mesra dengan duta Yakult iaitu pengacara, Fara Fauzana, Nabil Ahmad dan Jack Lim selain menyertai permainan membuat sushi, baling gegelung dan kelas origami.