Timbalan Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Rosli Ishak berkata, ibu kanak-kanak terbabit, Hasina Begum Hassan, 31, membuat laporan berhubung kehilangan Nurzahidah Zahid Hussain dan adiknya, Nurhidayah di Balai Polis Sikamat, kelmarin.

Katanya, suri rumah keturunan Rohingya itu memaklumkan dua anaknya melarikan diri kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan usaha mencarinya di sekitar kawasan itu dan rumah saudaranya gagal menemukan mereka.

“Siasatan polis setakat ini mendapati kedua-dua anak wanita itu telah keluar dari rumah dengan membawa beg sekolah yang berisi pakaian.

“Ia berpunca apabila ibu mereka telah menegur anak-anaknya yang tidak membantu mengemas rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rosli berkata, kanak-kanak berusia 13 tahun itu berkulit sawo matang, badannya kurus dan tinggi serta bertudung.

Ujarnya, kanak-kanak berusia 8 tahun itu pula badan sederhana gempal, berat 35 kilogram, tinggi kira-kira 130 sentimeter dan berkulit sawo matang.

Jelasnya, kes diklasifikasikan sebagai orang hilang dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan lokasi dua beradik berkenaan.

“Orang ramai yang menjumpai dua kanak-kanak itu diminta menyerahkan mereka di mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian 06-6033222,” katanya. - UTUSAN ONLINE