Yang menariknya, pendaki wanita memakai kain batik dan baju kurung Kedah sekali gus memperlihatkan ciri-ciri keayuan wanita Melayu.

Selain itu, ada peserta lelaki mengenakan baju Melayu dan berselempang ketika mengerah tenaga memanjat bukit tersebut.

Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol (MDJ), Raja Norazli Raja Nordin berkata, program anjuran Jawatankuasa Pelancongan MDJ dengan kerjasama Pusat Komuniti Desa (PKD) Serting Ilir itu mendapat sambutan memuaskan daripada masyarakat setempat.

“Menerusi program ini saya dapat menyampaikan kepada masyarakat tentang langkah menaik taraf MDJ kepada majlis perbandaran. Majlis perisytiharan akan disempurnakan oleh Yang Dipertuan Besar Ne­geri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 29 Januari ini,” katanya ketika ditemui semasa program itu, baru-baru ini.

Yang turut hadir Penghulu Mukim Kuala Jempol, Nazri Yunus dan kira-kira 50 peserta.

Raja Norazli berkata, semasa program itu beliau turut meninjau lokasi dan laluan Bukit Penarikan yang berpotensi diketengahkan sebagai lokasi pelancongan di daerah ini.

Jelasnya, selain bukit itu, beberapa tarikan lain akan digandingkan untuk menjadi satu pakej lengkap produk pelancongan Jempol.


“Antara lokasi yang telah dikenal pasti ialah Teratak Za’aba, Homestay Lonek, Kedai Asap Wan, Laluan Bersejarah Penarikan dan beberapa lagi tempat menarik,” katanya.


Beliau berharap masyarakat setempat dapat melihat potensi lokasi masing-masing yang boleh dijadikan tarikan lokasi pelancongan kerana ia akan turut menjana ekonomi penduduk. - UTUSAN ONLINE