Wakil peniaga tiket, Zainuddin Mohd. Ismail, 49, berkata, di bawah sistem itu semua penjualan tiket bas akan dikendalikan oleh sebuah syarikat dan bakal menyebabkan 32 kaunter tiket sedia ada termasuk yang beroperasi sejak 20 tahun lalu ditutup.

“Kami kesal kerana hanya mengetahui cadangan melak­sanakan sistem itu melalui surat yang tersebar baru-baru ini. Pihak Majlis Perbandaran Seremban (MPS) yang bertanggungjawab di terminal ini langsung tidak memaklumkan atau memanggil kami untuk berbincang terlebih dulu.

“Kalau sistem tersebut digunakan penjual tiket bas ekspres dan henti-henti yang akan menjadi mangsa kerana sudah tentu operasi kaunter tiket akan dihentikan oleh syarikat yang diberi hak mengendalikannya.

“Perkara ini telah berlaku apabila sistem itu dilaksanakan di terminal bas di Shah Alam dan Ipoh. Kami sokong kerajaan menaik taraf terminal bas ini selaras dengan usaha menjadikan Seremban sebagai bandar raya, tetapi nasib kami perlu diberi perhatian,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Sementara itu, seorang peniaga tiket Md. Eskandar Md. Hussin, 35, berkata, dia merupakan ge­nerasi kedua keluarga­nya yang menjual tiket bas di terminal itu dan risau sistem CTS akan menutup sama sekali periuk nasinya.

“Kalau sistem itu dilaksanakan, yang untung hanya satu syarikat yang memperoleh tender untuk menguruskan penjualan tiket. Kami alu-alukan terminal ini ditambah baik tetapi jangan buang kami,” katanya.

Seorang peniaga kedai runcit M. Eswary, 38, bimbang dengan kemungkinan perniagaannya terjejas atau terpaksa ditutup terus sekiranya syarikat yang menguruskan sistem penjualan tiket mengarahkan berbuat demikian.

“Nasib lapan peniaga kedai runcit dan makanan di sini juga akan terjejas. Mungkin kadar sewa dinaikkan atau mungkin ditutup untuk diberi kepada peniaga baharu sedangkan kami sudah berniaga kira-kira 20 tahun,” katanya.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, beliau meminta MPS memberi penjelasan kepada peniaga berhubung isu berkenaan.

Beliau turut menggesa Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun supaya campur tangan bagi membantu peniaga terbabit.