Kawasan yang sepatutnya hijau dan menenangkan itu tercemar gara-gara timbunan sampah seperti kotak, plastik dan kertas yang dibuang di tepi laluan menghala ke atas bukit tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati sebahagian besar sam­pah sudah lama ditinggalkan berdasarkan keadaannya yang mereput.

Seorang pengunjung, Azman Mat Deli, 37, berkata, kawasan itu kerap menjadi tumpuan pengunjung yang ingin beriadah dan naik sehingga ke atas bukit yang me-nempatkan tangki bekalan air itu.

Bagaimanapun, katanya, ada segelintir pengunjung yang mencampakkan plastik pembungkus makanan selepas mereka memberi makanan kepada monyet di kawasan hutan belukar tersebut.

“Sikap orang ramai sebenarnya menjadi punca kawasan ini kotor. Lokasi ini menarik tetapi kalau tidak ada kesedaran sudah tentu lama kelamaan ia akan menjadi semakin kotor.

“Sampah juga semakin banyak, saya bimbang lama-kelamaan ia dijadikan tempat pembuangan sampah haram jika tidak dika­wal,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Menurut Azman, beliau tidak pasti status pemilik kawasan itu namun berharap ia dapat dijaga dengan baik supaya dapat dijadikan lokasi rekreasi dan tumpuan yang bersih dan menarik.

Katanya, pihak yang bertanggungjawab wajar memandang serius masalah tersebut dan memantau perbuatan segelin­tir pengunjung dan penduduk dari kawasan berhampiran yang dibimbangi menjadi punca berlakunya isu berkenaan.

“Kalau boleh diadakan kerja pembersihan atau gotong-royong supaya masalah sampah di kawasan kaki bukit itu dapat diselesaikan. Sekiranya kita sama-sama mainkan peranan sudah tentu kawasan persekitaran akan dapat dipelihara,” katanya.