Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, antara persiapan itu adalah memastikan tubuh badan sihat dan melakukan regangan badan sebelum mula mendaki.

Selain itu, katanya, pendaki perlu membawa peralatan komunikasi seperti telefon bimbit dan memaklumkan kepada pihak berkuasa aktiviti yang hendak dilakukan.

“Terdapat minat yang bertambah dalam kalangan orang ramai untuk melakukan rekreasi mendaki bukit dan gunung sekitar negeri ini.

“Bagaimanapun sepanjang tahun lalu, pihak kami juga terbabit dalam usaha mencari dan menyelamat pendaki yang sesat atau berdepan masalah seperti cedera, malah ada yang meninggal dunia ketika mendaki,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perbarisan Tahunan 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan di sini hari ini.

Menurutnya, lokasi pergunungan yang popular di negeri ini dalam kalangan pendaki ialah Gunung Datuk di Rembau; Gunung Angsi, Kuala Pilah dan Gunung Berembun di sini.

Tambahnya, terdapat lokasi baharu yang menarik minat orang ramai seperti Gunung Besar Hantu, Jelebu; Bukit Melati, Nilai dan Bukit Baginda, Jempol.

“Sebagai contoh, orang ramai perlu tahu bahawa tiada liputan telefon di Gunung Besar Hantu dan mereka perlu mencari alternatif lain untuk komunikasi,” katanya.

Pada majlis hari ini, Norazam telah menyampaikan perutusan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohammad Hamdan Wahid.

Beliau juga menyampaikan anugerah Wira Bomba kepada dua orang awam yang membantu menyelamatkan orang ramai dalam kebakaran dan sijil penghargaan kepada 12 orang pengamal media di negeri ini. - UTUSAN ONLINE