Ini diperkenalkan apabila ke­rajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan mengecualikan bayaran lesen kepada peniaga dan penjaja bagi merangsang minat rakyat berniaga dan menambah pendapatan keluarga.

Sesiapa saja dibenarkan membuka meja atau memacak payung di kawasan sesuai un­tuk menjual nasi lemak, pisang goreng, nasi bungkus dan lain-lain lagi, asalkan tidak mengganggu lalu lintas dan keselesaan awam.

Boleh dikatakan tidak ada negeri lain yang begitu pemurah dalam menyediakan peluang seperti ini bagi menjana sumber pendapatan.

Bagaimanapun peniaga ti­dak dibenarkan membina binaan kekal dan perlu sentiasa menjaga kebersihan tempat mereka berniaga. Ini bermakna mereka hanya dibenarkan berniaga dengan konsep sementara di tempat tumpuan ramai.

Peraturan berkenaan menjadi perkara asas dalam kebenaran yang diberikan kerajaan negeri kepada mereka yang mahu berniaga di sekitar kawasan awam di negeri ini.

Hasilnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kita dapat lihat ramai yang memanfaatkan peluang tersebut.

Peniaga baharu muncul se­perti cendawan selepas hujan. Masing-masing tampil dengan barang jualan dan pelbagai gimik bagi melariskan produk. Kebanyakan peniaga gembira kerana ia membuka sumber rezeki baharu kepada mereka.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga bersikap lebih terbuka dengan memberi kebebasan kepada pe­niaga menjalankan perniaga­an seiring dengan kebenaran diberikan Menteri Besar.

Sehingga kini ‘hubungan’ PBT dan peniaga juga harmoni kerana tidak timbul kes perbalahan dan kekecohan melibatkan kelompok berkenaan.

Malangnya, di sebalik sikap murah hati kerajaan ne­geri dan PBT, ada segelintir peniaga yang tidak menghargai keistimewaan diberikan kepada mereka.

Umpama sudah dapat betis hendak paha pula, mereka ini sengaja mengambil kesempatan membina gerai kekal di kawasan yang tidak dibenarkan sama sekali.

Ada pula yang membuka perniagaan di lokasi yang tidak sesuai, contohnya terlalu hampir dengan simpang jalan sehingga menghalang panda­ngan pemandu kenderaan dan menyusahkan aliran trafik.

Tidak kurang pula yang membina gerai dengan lantai simen dan bumbung zink, seolah-olah mahu membina premis sendiri di atas tanah kerajaan.

Lebih buruk lagi apabila gerai disita dan diarah berpindah oleh PBT, mereka men­jadikannya modal untuk me­nyalahkan kerajaan negeri. Pelbagai tuduhan pula dicipta dan tindakan PBT ditularkan menerusi media sosial.

Tiada langsung rasa bersyu­kur dengan apa yang dibenarkan. Dengan Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin hampir ada pihak yang cuba menjadikannya isu politik bagi menghentam kerajaan negeri.

Sikap segelintir peniaga seperti ini amat dikesali. Mereka membawa imej buruk kepada peniaga dan penjaja lain yang benar-benar menghargai peluang disediakan.

Pesanan kepada semua peniaga patuhi peraturan dan carilah rezeki dengan hati yang tenang.