Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, anggota KPDNHEP itu menyamar sebagai penonton dan akan menahan individu yang didapati merakam filem ditayangkan di pawagam.

“Setakat ini tiada tindakan curi rakam dikesan, bagaimanapun pengguna diingatkan supaya tidak merakam filem semasa menonton di pawagam.

“Kita kena hargai karya tempatan dan luar negara kerana mereka bekerja keras untuk karya mereka. Kerugian akibat perbuatan curi rakam filem ini dilaporkan berjumlah berbilion ringgit,” katanya dalam sidang akhbar Operasi Hak Cipta Membanteras Kegiatan Rakaman Dalam Panggung Wayang di sini hari ini.

Ain Arjuna menjelaskan, perkembangan teknologi sebelum ini menyaksikan perubahan kegiatan cetak rompak fizikal dari era cakera padat kepada video cakera padat, cakera video digital dan cakera Blue Ray.

Kata beliau, kegiatan cetak rompak kini telah beralih ke dalam bentuk digital kepada laman web tertentu seperti YouTube, Facebook, Instagram dan Twitter.

Ujarnya, mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hak Cipta 1987 yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun. - UTUSAN ONLINE