Pasangan itu mempamerkan hantaran perkahwinan iaitu sebuah replika rumah idaman yang dibuat daripada lidi dan batang aiskrim di pelamin mereka.

 

Replika rumah yang dibina mereka secara bersama itu mengambil masa hampir dua bulan setengah untuk disiapkan dan menarik perhatian kira-kira 2,000 tetamu yang menghadiri majlis itu.

Menurut Noridah, dia mahu mencipta kelainan pada majlis perkahwinannya dengan menjadikan replika rumah itu sebagai hantaran kerana salah satu impian suami adalah untuk menghadiahkan sebuah rumah kepadanya.

“Reka bentuk rumah idaman ini adalah idea suami dan 80 peratus rekaan adalah hasil kerja tangannya. Saya hanya membantu menyiapkan gazebo sahaja itupun selepas dicabar suami,” katanya ketika ditemui di sini.

Noridah atau lebih dikenali sebagai Neida Noor yang merupakan jurugambar perkahwinan berkata, tiada sebarang hantaran lain diberikan oleh kedua-dua belah pihak selain replika rumah berkenaan.

“Cara ini tidak membebankan pihak lelaki kerana tidak perlu membawa hantaran dulang yang banyak, cukup sebuah replika rumah sebagai tanda kasih sayang kami.

“Majlis perkahwinan kami serba ringkas dan saya kagum dengan kesungguhan suami untuk menyiapkan replika yang menelan kos kira-kira RM400,” katanya yang turut menjadikan wang mas kahwin RM200 sebagai hiasan kepada replika rumah itu.

Yang menariknya, tetamu turut diberikan peluang meneka jumlah batang lidi yang digunakan dan hadiah utama iaitu mesin basuh dan barangan elektrik lain menanti pemenang.

Para tetamu diberikan kertas dan pen untuk mengisi nama, nombor telefon serta jawapan bagi memudahkan pasangan pengantin ini menghubungi pemenang.

 

“Saya tidak boleh memberitahu jumlah sebenar kerana pertandingan itu masih terbuka dalam laman Facebook saya, Neida Noor. Sesiapa saja boleh meneka dan memenangi hadiah,” kata Noridah.

Pasangan itu yang berkenalan sejak dua tahun lalu telah dinikahkan kelmarin. - UTUSAN ONLINE