Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, pihaknya merancang mengadakan siri jelajah bagi memudahkan golongan sasaran tersebut menyertai caruman berkenaan.

Beliau menjelaskan, jelajah itu akan disertai beberapa agensi berkaitan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Simpanan Bank Nasional.

“Sehingga kini hanya ada 1,060 yang telah mendaftar dalam i-Suri dan kita akan giatkan usaha bagi memastikan lebih ramai menyertainya.

“Masih ada suri rumah belum mendaftar kerana mereka dipercayai tidak mengetahui tentang i-Suri atau berada di kawasan luar bandar. Kita akan turun padang supaya mereka mendapat maklumat seterusnya menyertai caruman tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di sini.

Mengulas lanjut, Nicole berkata, pihaknya meletakkan sasaran seramai 1,200 orang daripada wanita terbabit akan mendaftar dengan i-Suri dalam suku pertama tahun ini.

Beliau menjelaskan, ba­gi mencapai sasaran ber-kenaan pihaknya berharap mendapat kerjasama daripada ketua kampung dan Majlis Perwakilan Komuniti Kampung dari seluruh ne-geri untuk menghebahkan perkara tersebut.

Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profil mereka didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih) boleh menyertai i-Suri dengan membuat caruman minimum RM5 setiap bulan ke akaun simpanan persaraan mereka.

Ini bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan yang dimasukkan ke dalam akaun KWSP masing-masing.

Mereka akan menikmati manfaat sama seperti ahli KWSP iaitu dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, pengeluaran umur 50, 55 dan 60 tahun, bantuan hilang upaya serta bantuan kematian.