Menurut pemilik restoran, Aizat Zulhailie Abu Bakar, pelanggan diberi peluang menikmati hidangan itu mulai pukul 5 petang dan berakhir pukul 12 malam.

"Pada awalnya, kita menyasarkan seramai 1,000 pelanggan sahaja tetapi tidak sangka ramai yang datang dan sanggup beratur panjang. Mereka bukan saja dari Negeri Sembilan malah dari seluruh negara.

"Kita tidak mahu menghampakan pelanggan dan memastikan semua dapat merasai kesedapan makanan itu. Tidak sia-sia mereka beratur kerana dapat makan char kuetiau seafood secara percuma yang berharga RM7.50," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Aizat Zulhailie, setiap tahun restoran itu akan mengadakan pelbagai aktiviti bagi meraikan sambutan tertentu bagi menghargai pelanggan.

"Pada tahun lalu kita menawarkan teh tarik berharga 10 sen dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Kali ini kita beri char kuetiau percuma sempena Hari Keputeraan ke-71 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

"Ini adalah cara restoran ini meraikan sambutan tersebut dan menghargai hari bersejarah ini bersama para pelanggan," katanya.

Menurutnya, beliau gembira dengan sambutan pelanggan terhadap restoran itu yang berjaya menjual 222,591 pinggan char kuetiau pada tahun lalu.

"Restoran ini dikendalikan 15 orang cef berpengalaman dan 37 kakitangan. Kami juga menyediakan cabutan bertuah dan menghiburkan pelanggan dengan lagu yang didendangkan kumpulan buskers pada hujung minggu," katanya. 

Restoran tersebut dikenali kerana mempelbagaikan menu char kuetiau antaranya char kuetiau sotong, daging lembu, kambing dan ayam panggang. - UTUSAN ONLINE