Seorang pelajar perempuan terlebih dahulu diserang histeria semasa sesi perhimpunan sekolah itu sebelum pelajar lain mengalaminya.

Seorang pelajar sekolah itu yang hanya mahu dikenali sebagai Fizi, 17, berkata, serangan histeria di sekolah itu berlaku secara berperingkat-peringkat sehingga pukul 11.30 pagi.

“Pada awalnya seorang saja pelajar kena histeria semasa perhimpunan. Selepas satu jam, seorang demi seorang pelajar lain pula menjadi mangsa.

“Seramai 20 pelajar perempuan yang mengalami histeria dari kelas dan blok kelas berlainan,” katanya ketika ditemui di sekolah itu di sini hari ini.

Fizi berkata, pelajar perempuan terlibat meraung dan berguling di atas lantai seolah-olah dirasuk semasa serangan histeria itu berlaku.

Jelas beliau, insiden itu kali kedua berlaku selepas kejadian pertama Jumaat lalu yang membabitkan dua pelajar perempuan.

Menurutnya, semua pelajar sekolah itu kemudian diarah kembali kembali ke tempat perhimpunan dan membaca surah Yasin sebelum keadaan kembali tenang.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Pkharuddin Ghazali dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihak sekolah bertindak mengasingkan pelajar terlibat di surau, manakala pelajar lain dikumpulkan di dewan sekolah semasa insiden itu.

Tambah beliau, pihak sekolah turut memanggil ustaz dari Masjid Kuarters KLIA untuk membantu memulihkan pelajar terlibat sebelum ibu bapa diminta membawa pelajar berkenaan pulang.

“Keadaan kembali tenang pada pukul 11.39 pagi dan sesi pembelajaran berjalan semula. Pelajar sesi petang juga diminta mengadakan bacaan surah Yasin.

“Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan pihak sekolah memantau kes itu dari semasa ke semasa agar kejadian sama tidak berulang,” katanya. - UTUSAN ONLINE