Sudah tentu tanggapan itu tidak begitu tepat. Cubalah tanya kepada peniaga, ka­dangkala nama yang di­pilih untuk produk atau kedai mereka boleh menjadi penentu laris atau tidak barang yang dijual.

Sebagai contoh, kalau bukan diberi nama 'nasi lemak anak dara', tak mungkin perniagaan seorang graduan universiti, Siti Hajjar Ahmad, 24, mampu mencuri perhatian di Shah Alam tidak lama dahulu.

Selain tuan punya diri yang masih muda, pastinya nama yang digunakan bagi nasi lemak tersebut membangkitkan keinginan orang ramai untuk merasanya sehingga tular di media sosial.

Taktik memancing perhatian pelanggan menggunakan nama dan gelaran yang unik, kelakar dan kadangkala mempunyai dua makna, sudah lama menjadi amalan peniaga.

Di negeri ini sahaja, ada bermacam-macam nama nasi lemak antaranya nasi lemak 1Malaysia, nasi lemak 50 sen dan nasi lemak sandar.

Bagi petugas media di sini, sesetengahnya sangat menggemari nasi lemak ‘jando’ (janda) yang dikatakan dimasak dengan kandungan santan yang banyak.

Bagaimanapun, yang tidak menyenangkan kita apabila trend dalam memilih nama luar biasa dan pelik sudah menjadi keterlaluan sejak kebelakangan ini.

Sebagai contoh di ibu negara, ada peniaga sengaja menggunakan istilah yang lazimnya dikaitkan dengan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk melariskan nasi lemak mereka.

Apa pun niat mereka, perbuatan mempromosi secara terbuka LGBT kepada masyarakat di negara ini tidak boleh diterima dan seharus­nya ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa.

Sebagai ahli masyarakat pula, kita tidak sewajarnya menularkan perniagaan seumpama itu kerana secara tidak sedar kita turut mempromosi LGBT.

Niat ingin membantu mereka sebaliknya akan bertukar menjadi 'saham' dalam mempopularkan budaya songsang.

Janganlah gerai yang sepatutnya tempat mencari rezeki dicemarkan dengan elemen negatif dan menjaja budaya LGBT secara terbuka.

Kalau benar ingin berniaga, banyak lagi nama boleh digunakan dan sedap pula dide­ngar.

Selain nama, banyak elemen lain yang boleh melariskan sesuatu perniagaan makanan.

Layanan mesra, makanan sedap dan berbaloi dengan harga serta faktor kebersihan adalah penentu utama jatuh bangun sesuatu perniagaan.

Tetapi kalau peniaga sombong, makanan tidak cukup rasa dan mahal, letaklah nama paling hebat dan glamour pun pasti perniagaan tidak mampu bertahan lama.