Sudah tentu misi besar yang menanti beliau adalah untuk merampas semula kerusi tersebut daripada DAP yang telah menang dalam dua pilhan raya umun (PRU) sebelum ini.

Wartawan Utusan Malaysia, HARADIAN SHAH HAMDAN menemu bual beliau untuk mendapat pandangan mengenai pelbagai isu di kawasan Parlimen berkenaan.


UTUSAN MALAYSIA: Sejauh mana keyakinan Datuk untuk Barisan Nasional (BN) merampas semula Parlimen Seremban? 

Tidak dapat dinafikan bahawa DAP sendiri bermula di Seremban iaitu dari Kampung Rahang yang ketika itu sebahagian daripada Seremban. Bagaimanapun kalau kita lihat rekod, kerusi ini silih berganti antara MCA dan DAP.

Kita pernah menang dengan majoriti lebih 20,000 undi di Seremban. Pada pilihan raya tahun 1995, 1999 dan 2004 kerusi ini dimenangi MCA, namun DAP mengambil alih pada 2008 dan 2013. Siapa pun tidak boleh kata Seremban kubu kuat mereka ke­rana dua-dua parti pernah mewakili kawasan ini. Untuk BN merampas semula kerusi tersebut bukanlah perkara yang mustahil.

Komen mengenai wakil rakyat ketika ini?

Sudah 10 tahun Parlimen ini diwakili DAP tetapi kita tidak nampak sebarang perancangan dibentang dan dibuat untuk rak­yat. Mereka lebih suka mainkan isu politik nasional.

Ramai yang mengadu wakil rakyat mereka tidak bawa isu pembangunan dan masalah me­reka ke Parlimen. Begitu juga de­ngan wakil rakyat DAP di DUN Temiang dan Lobak yang gagal berperanan sehinggakan pengundi tidak kenal mereka.

Sejauh manakah keyakinan BN untuk menghadapi PRU-14?

Pada PRU-13, BN tewas di Se­remban kerana berlaku perubahan undi dalam kalangan pe­ngundi atas pagar. Kali ini kita lihat keadaan berbeza. Parti-parti komponen dalam BN di Seremban lebih bersatu padu.

Kalau sebelum ini boleh dikatakan setiap parti ada isu sama ada masalah calon, isu dalaman dan jentera parti. Kini semua sedar tanggungjawab masing-ma­sing bagi berdepan PRU-14 dan itu adalah asas kekuatan kita.

Selain itu, di bawah pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan banyak dasar yang membantu pembangunan negeri serta tiada sebarang isu berkaitan kerajaan negeri.

Bagaimana pula dengan so­kongan daripada pengundi Cina?

Mereka semakin positif berbanding selepas PRU-13 teruta­ma dalam kalangan pengundi bandar.

Kalau dulu kita pernah dilayan dengan negatif oleh peniaga Cina semasa melawat Pasar Besar Se-remban tetapi selepas tiga atau empat tahun kita dapat maklum balas yang baik. Ini kerana kita banyak membantu rakyat. Itu petunjuk yang baik.

Apakah harapan kepada pe­ngundi pada PRU-14 nanti?

Saya minta mereka memberi peluang kepada kita kerana sudah terbukti BN mampu membuat kerja dan menunaikan janji yang dibuat.

Pengundi perlu membuat penilaian tepat dan yakinlah de­ngan calon kita yang diwakili barisan baharu dan orang muda.