Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Muhammad Shahrul Hafidz Ab. Rahim berkata, proses pemindahan haiwan berasal dari benua Afrika itu mengambil masa agak lama bagi memastikan haiwan tidak tertekan atau bertindak liar semasa perjalanan.

Menurutnya, antara faktor yang diambil kira semasa proses itu adalah tempoh waktu yang sesuai, kadar tekanan haiwan selain makanan serta air yang mencukupi.

“Kita bimbang sekiranya tempoh pemindahan terlalu lama, ia akan menyebabkan Mercy tertekan dan jika kenderaan dipandu terlalu laju juga, dia juga mungkin akan tertekan.

“Jadi faktor masa itu sangat penting dan kami rasakan, tempoh antara lapan hingga 12 jam adalah jangka waktu paling sesuai untuk proses tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita semasa menyaksikan proses pemindahan itu di Zoo Melaka, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis dan Pengurus Besar The Lost World Of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd. Azahari.

Mercy yang kini berumur 11 tahun dibawa menggunakan treler dengan ditemani penjaganya, A. Saravanan dan yang akan melalui Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dari Zoo Melaka ke Perak, malam ini. - UTUSAN ONLINE