Bagi tujuan itu, dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Seremban dan Majlis Perbandaran Nilai akan digabungkan di bawah satu pentadbiran bagi membentuk Majlis Bandaraya Seremban (MBS).

Pengumuman itu akhirnya menjawab persoalan sebaha­gian besar penduduk yang ternanti-nantikan perkara ter­sebut memandangkan kelulusan status bandar raya te­lah diberikan kerajaan Persekutuan pada 2012 lagi.

Seremban bakal mengikut jejak beberapa ibu negeri dan bandar lain antaranya Shah Alam, Johor Bahru, Ipoh, Melaka, Petaling Jaya, Miri dan Kota Kinabalu yang terlebih dahulu menerima status berkenaan.

Sudah tentu pelbagai perkembangan yang dijangka me­ngubah landskap pemba­ngunan negeri ini terutamanya projek Malaysian Vision Valley (MVV) di kawasan seluas 153,000 hektar turut menjadi pertimbangan dan diambil kira dalam menaik taraf status tersebut.

Selain itu, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura melibatkan landasan sepanjang 350 kilometer yang dijangka siap pada 2026, akan turut mempunyai sebuah stesen di Labu.

Justeru, amat tepat sekali untuk menyiapkan Seremban lebih awal sebagai bandar ra­ya yang bakal mencerminkan transformasi pembangunan berskala besar tersebut.

Dalam masa yang sama, kita tidak boleh menyalahkan penduduk Seremban apabila meletakkan harapan tinggi untuk melihat perubahan besar dalam pelbagai aspek dengan status sebagai bandar raya kelak.

Sebagai contoh, beberapa pengguna laman sosial yang memberi komen terhadap pengumuman Mohamad tempoh hari menyenaraikan beberapa isu yang perlu diberi perhatian dalam usaha mewujudkan bandar raya terbaik.

Antaranya termasuk memberi tumpuan kepada isu infrastruktur seperti kualiti pe­ngurusan jalan raya, tempat letak kereta, banjir kilat selain mengharapkan perkhidmatan lebih sistematik daripada MBS kelak.

Selain itu, isu perumahan, pengangkutan, sampah dan masalah gerai-gerai dibina di tapak kekal di lokasi awam sehingga menjejaskan pemandangan antara cabaran yang perlu diatasi segera.

Ada juga yang berharap supaya tahap keceriaan terutamanya melibatkan landskap dan hiasan jalan di pusat bandar itu nanti ditingkatkan.Perubahan tidak mungkin berlaku sekelip mata, namun setiap warga Seremban berhak untuk mengimpikan perbezaan dalam tahap perkhid­matan dan kualiti hidup di sebuah bandar raya berban­ding yang ada ketika ini.

Penilaian terhadap status sebuah bandar raya bukan terletak di atas kertas semata-mata, sebaliknya yang paling penting adalah mewujudkan konsep sebenar bagi sebuah bandar raya sehingga dapat dirasai warganya.