Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, kesemua calon berkenaan terdiri daripada murid tahun enam dari tiga daerah seluruh Melaka termasuk Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,229 murid merupakan calon sekolah kebangsaan (SK), 2,839 calon sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), 458 calon sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), 480 calon sekolah rendah agama Jabatan Agama Islam Melaka (SRA JAIM) serta selebihnya 92 lagi merupakan calon sekolah swasta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas me­ngadakan lawatan sempena hari pertama UPSR di SK Tun Syed Ahmad Shahabudin, Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin dan Pengarah Pendidikan ne­geri, Abu Bakar Sahari.

Jelas Idris, sebanyak 232 pusat peperiksaan dibuka di seluruh Melaka dibantu oleh 1,128 petugas peperiksaan termasuk 59 penyelia kawasan, 232 ketua pengawas serta 837 pengawas bagi kelancaran proses.

Selain daripada itu, sebanyak enam calon dari negeri ini terpaksa menduduki ujian tersebut di hospital termasuk empat hospital kerajaan dan swasta di Me­laka serta dua lagi di hospital di Kuala Lumpur kerana menerima rawatan.

“Kesemua calon hospital ini diawasi dengan baik oleh pengawas peperiksaan dan kita turut meminta ibu bapa memantau tahap kesihatan anak mereka de­ngan memberitahu pihak sekolah sekiranya memerlukan rawatan di hospital kerana bimbang penyebaran virus di sekolah,” ujarnya.

Sementara itu Abu Bakar memberitahu, jumlah calon UPSR tahun ini menurun berbanding keseluruhan sebanyak 13,379 calon pada 2016 daripada jumlah sama 242 buah sekolah.

“UPSR bermula hari ini (semalam) dengan kertas pertama Bahasa Melayu (Pemahaman) dan Bahasa Melayu (Penulisan) bakal berakhir pada 18 September depan.