Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, langkah itu bagi mengurangkan kesesakan di laluan utama di Lebuh Ayer Keroh apabila dijangkakan jumlah masuk kenderaan di negeri ini mengalami peningkatan mencecah 50,000 pada Hari Raya Aidilfitri ini.

Katanya, pengguna jalan raya dicadangkan untuk menggunakan laluan alternatif pertama melalui Lebuh Ayer Keroh - Jalan Gapam - Jalan Tun Hamzah - Jalan Bukit Katil - Jalan Semabok - Bandar Melaka.

“Pengguna juga boleh menggunakan di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) - Jalan Batu Berendam - Jalan Melaka Baru - Jalan Mufti Haji Khalil - Jalan Mata Kucing.


 PELAJAR praktikal jurusan Penguat Kuasaan Undang-undang Kolej Presiden, Nurul Farah Ilyani Zulastri membantu mengagihkan cenderahati kepada pengguna kenderaan di Plaza Tol Ayer Keroh, Melaka semalam.  - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

“Laluan alternatif ketiga adalah dari Lebuh Ayer Keroh - Lebuh SPA - Lebuh Alor Gajah - Melaka Tengah - Jasin (AMJ - Cheng) - AMJ Melaka Sentral, Jalan Panglima Awang - Jalan Hang Tuah,” katanya .

Raja Shahrom ditemui selepas melancarkan Op Selamat ke-15, Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Keselamatan Rumah Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Plaza Tol Ayer Keroh di sini semalam.


 RAJA SHAHROM RAJA ABDULLAH (kiri) menyampaikan bubur lambuk dan pek cenderahati kepada pengguna kenderaan pada majlis pelancaran Op Selamat ke-15, Kempen Keselamatan Jalan Raya dan Keselamatan Rumah Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019 di Plaza Tol Ayer Keroh di Melaka, semalam. - UTUSAN ONLINE/AZLI AHAD

Menurutnya, pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk lebih berhati-hati di beberapa lokasi yang kerap berlaku kemalangan jalan raya termasuk di Melaka Tengah di lampu isyarat Kandang, Bukit Palah, Melaka Sentral, Cheng dan Paya Rumput.

Tambahnya, di Alor Gajah kemalangan sering terjadi di lampu isyarat Durian Tunggal, pekan Durian Tunggal, Jalan Kemas, Jalan Padang Kambing, Jalan Parit Melana, Simpang 3 Padang Kerbau, Taman Kejora dan Jalan Ayer Pasir.

“Bagi mereka yang menggunakan laluan di daerah Jasin, dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila melalui jalan di Taman Pulai Indah, Kampung Ayer Tawar, Kilometer 29 Jalan Kesang, Jalan Garing, Kilometer 24.5 Kesang-Jasin, Kesang, Tehel, Merlimau dan Serkam,” katanya. - UTUSAN ONLINE