Malah, hasil perbincangan antara penduduk dengan Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras DUN (Japerun) Ayer Keroh kelmarin mencapai kata persetujuan untuk pembinaan sebuah surau yang tertangguh sejak tahun 2017.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Azhan Md. Samat berkata, pihaknya tidak menerima aduan berlaku pergaduhan berkenaan cadangan surau berkenaan seperti mana yang tular di media sosial.

Menurutnya, orang ramai perlu menghentikan penularan berita yang tidak sahih itu kerana ia boleh menggugat kenteraman dan perpaduan kaum.

"Kita menggesa orang ramai supaya meneliti terlebih dahulu berita yang diterima dengan berhemah dan bukannya menyebarkan maklumat yang mungkin telah ditokok tambah.

"Kadang-kadang ada segelintir pihak yang suka menangguk di air keruh mengambil kesempatan memecah-belahkan rakyat dengan isu seumpama ini, katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebelum ini tular beberapa keping gambar mengenai mesyuarat bantahan penduduk taman berkenaan berkaitan pembinaan surau berkenaan dengan keterangan berbaur provokasi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Sutera Wangi, Mohd. Syafiq Rahman berkata, penduduk menarik nafas lega apabila perbincangan antara penduduk beragama Islam dan bukan Islam yang dipengerusikan oleh Chee Yee berlangsung dalam suasana harmoni.

Malah beliau turut menafikan berlaku pertelingkahan seperti mana yang tular dalam media sosial sedangkan segalanya berjalan dalam keadaan baik dan dilaksanakan dengan kaedah menang-menang bagi mencari kesepakatan di antara penduduk biar pun berbeza agama.

Katanya, walaupun cadangan pembinaan surau itu bertukar di lokasi lain namun ia masih dalam kawasan taman tersebut dan keluasan lebih besar berbanding cadangan ditapak asal.

"Perbincangan berjalan lancar dan kami dari pihak persatuan bersyukur atas apa yang telah diputuskan dalam perbincangan mesyuarat secara profesional dalam mendapat kata putus bagi kedua-dua pihak.

"Apa yang penting pembinaan surau dapat direalisasikan walaupun lokasinya diubah tidak jauh dari tapak asal," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang mewakili penduduk taman perumahan itu berharap kerajaan negeri dapat mempercepatkan pembinaan surau itu bagi menjadi medium untuk penduduk menjalankan aktiviti kemasyarakatan demi mengeratkan ukhwah dan perpaduan antara satu sama lain. - UTUSAN ONLINE