Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hasim Hasan berkata, semua PBT termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) perlu menggandakan u-saha bagi meningkatkan kebersihan terutamanya di kawasan pusat tumpuan pelancong.

Menurutnya, usaha itu penting bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terutamanya pelancong bahawa Melaka mampu kembali menjadi bandar terbersih di Malaysia.

“Pihak PBT juga perlu mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan pungutan sisa pepejal di kawasan masing-masing.

“SOP pembersihan di Jonker Walk ini contohnya, masih ada peniaga menjalankan perniagaan selepas waktu dibenarkan dan menyukarkan pihak kontraktor pembersihan untuk membersihkan kawasan itu,” katanya ketika ditemui pada Program Gerak Kerja Pembersihan Bersama MBMB dan SWCorp di Jonker Walk, Banda Hilir, di sini awal pagi tadi.

Hadir sama Datuk Bandar MBMB, Mansur Sudin serta kira-kira 80 anggota serta pegawai dari MBMB dan SWCorp.

Sementara itu Mansur berkata, hasil pemerhatian di sekitar Jonker Walk mendapati tahap kebersihannya masih di tahap B dan usaha perlu ditingkatkan.