Namanya diambil sempena kota bersejarah A’Famosa peninggalan Portugis.

A’Famosa Resort merupakan salah satu rangkaian hotel yang terdapat di daerah Alor Gajah dan turut menawarkan pelbagai kemudahan rekreasi, hiburan, sukan kepada pengunjungnya dan tempat ini telah direka oleh pereka terkemuka Ross C. Watson.

Selain itu, A’Famosa Resort juga turut menawarkan rangkaian kemudahan penginapan seperti hotel, kondotel dan banglo.

Resort yang dilengkapi dengan padang golf 27 lubang ini turut menyediakan pelbagai kemudahan lain seperti kolam meman­cing, restoran, dewan banquet, bilik seminar, karaoke, kedai cenderamata, kereta kuda, kereta api, basikal dan sebagainya untuk ke­selesaan pengunjung.

Lokasi yang sering menjadi tarikan pengunjung ialah Water World, Animal Safari, Cowboy Town, Golf dan Kelab Micro Light.

Kini A’FAmosa telah menaik taraf bagi memikat hati pengunjung dengan tarikan terbaharu yang bakal dibuka untuk tahun 2015, dan sebagai sumbangan kepada Tahun Melawat Malaysia 2015, A’Famosa menyediakan satu lagi tarikan terutama kepada mereka yang inginkan barangan berjenama.

Freeport A’Famosa Outlet Village yang akan menawarkan barangan daripada jenama premium bakal menjadi lokasi yang perlu dilawati bagi mereka yang berkunjung ke Melaka selepas ini.

Outlet ini menawarkan jenama antarabangsa daripada pereka terkemuka, terutama barangan fesyen dengan potongan 30 hingga 70 peratus daripada harga jualan biasa.

Fasa pertama yang mempunyai 81 lot jualan barangan, makanan, minuman serta dewan pameran yang akan beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari termasuk pada hari cuti umum.

Freeport A’Famosa Outlet Village mula dibina sejak Mac 2014 dan semua 80 unit jualan fasa pertama itu diserahkan pada Julai tahun ini.

Lebih 80 peratus unitnya telah disewakan dan dijangka kawasan seluas 180,000 kaki persegi itu akan disewakan sepenuhnya. Baki lagi 40 unit fasa kedua pula dijangka siap pada 2016.

Turut menarik perhatian bakal pengunjung sekiranya melangkahkan kaki ke A’Famosa adalah dengan kedatangan anak singa putih baharu yang dimasukkan di Animal Safari.

Sepasang anak singa putih dari Afrika Selatan menjadikan tarikan terbaharu kepada pengunjung di A’famosa Safari Wonderland yang di bawa masuk ke pusat itu sejak 27 Ogos yang lalu.

Pengurus Residen A’Famosa Resort, Khaled Mohammad berkata, dua ekor anak singa iaitu jantan dan betina masing-masing berusia enam serta lima bulan itu ditempatkan di kawasan safari yang mempunyai keluasan keseluruhan kira-kira 61 hektar.

Menurutnya, kos membawa pasangan anak singa putih itu menelan belanja keseluruhan kira-kira RM200,000 dari tempat asalnya ke Safari Wonderland selain mengikut prosedur yang ditetapkan di dua buah negara.

“Kita mendapati spesies anak singa putih ini adalah yang sukar diperoleh dan pihak kita telah ditawarkan menjaganya dari pusat perlindungan haiwan berkenaan di negara asalnya berikutan ibu bapa mereka tidak mampu lagi untuk menjaga anak-anaknya.

“Pasangan anak singa ini akan dibesarkan di tempat ini serta dijaga oleh pelatih safari berpengalaman dan kita berharap mereka dapat melahirkan anak sekali gus membiakkan populasi spesiesnya di safari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program lawatan dan program A’famosa Resort bersama media di sini baru-baru ini.

Khaled berkata, pihaknya percaya kehadiran dua ekor anak singa putih itu pastinya menjadi tarikan baharu yang mempunyai keistimewaan tersendiri sekali gus menarik lebih ramai pengunjung ke Safari Wonderland.

Menurutnya, selain pasangan singa itu, pusat itu juga mempunyai sebanyak 23 ekor harimau serta haiwan liar lain seperti beruang, singa, zirafah, gajah dan pelbagai lagi.

“Di samping itu pengunjung turut berpeluang merasai pengalaman Safari Adventure iaitu menaiki trak untuk melihat haiwan liar yang terdapat dalam kawasan berkenaan.

“Selain itu, pengunjung boleh menaiki bot untuk ke Monkey Island yang menempatkan beberapa spesies monyet, selain melihat reptilia serta pertunjukan burung dan Wild Wild West Show yang pasti mencuit hati di Safari Wonderland,” katanya.

Tambahnya, tiket masuk ke tempat itu berharga RM56 bagi dewasa dan RM43 untuk kanak-kanak pada hari biasa, manakala RM59 dewasa dan RM47 pada hari hujung minggu.

Kedudukanya di tepi Lebuh Raya Utara-Selatan menjadikan A’Famosa Resort cukup dikenali dan mudah untuk dikunjungi. Popularitinya pula bukan sekadar lokasi di pinggir lebuh raya, tetapi kerana terdapatnya pelbagai tarikan ia sering menjadi lokasi panas untuk dikunjungi dan dinikmati oleh pengunjung.

Selain terletak di tepi lebuh raya, A’Famosa juga terletak betul-betul di tengah di antara Kuala Lumpur dan Singapura. Ini bakal menjadi satu lagi tarikan pelancongan ke Melaka dan juga Malaysia.

Populariti yang sedia ada pada A’Famosa Resort juga bakal memudahkan usaha untuk membawa pelancongan ke perkampungan jenama premium itu dan seterusnya menyumbang kepada kepesatan industri pelancongan negara.

Pada tahun lalu, A’Famosa Resort menerima kunjungan lebih dua juta pelawat dan dengan penambahan tarikan baharu itu, jumlahnya dijangka bertambang sekali ganda.