Menurut Pengurus Wilayah SWM Environment Melaka dan Negeri Sembilan, Dr. Al’ Ashari Othman, pihaknya akan menguruskan perkara itu sedaya-upaya bagi menampung penggunaan­nya dalam masa terdekat sementara menunggu keputusan daripada pihak berkuasa.

“Memang keadaan tapak pelupusan hampir penuh, tetapi kita akan cuba memaksimumkan juga. Perkara ini telah di­bincangkan bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pem­bersihan Awam (SWCorp) dan agensi kerajaan berkaitan me­­ngenai strategi jangka pendek serta panjang dan ianya (perbincangan) kini di peringkat akhir.

“Keputusan mengenainya akan dibuat oleh pihak kerajaan bagi memastikan (di Melaka) masih ada tempat dan ruang buang sam­pah walaupun keadaan memang sudah meruncing,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung operasi SWM Environment Sdn. Bhd. di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Korporat SWM, Kamarul Ariffin Ibrahim dan Pengurus Operasi Wilayah Melaka dan Negeri Sembilan, Hisham Hussin.

Sementara itu, Al’ Ashari memberitahu, situasi tahap kritikal itu berlaku berikutan lambakan sampah pukal seperti perabot, besi dan pokok yang memakan banyak ruang di kawasan seluas 25.5 hektar tersebut.

Tambahnya, sikap masyarakat yang tidak mengamalkan amalan 3R iaitu mengurangkan, kitar semula dan guna semula merupakan antara punca yang menyumbang kepada kepadatan sampah di tapak pelupusan berkenaan.

Sehubungan itu, jelas Al’ As­hari, antara langkah yang dicadangkan termasuklah membuka sel kedua yang lebih besar selain membina insinerator di tapak ter­sebut pada masa akan datang.

“Cadangan ini telah dikemukakan kepada agensi dan jabatan yang berkaitan. Mereka sedang meneliti­nya serta dijangka akan diputuskan dalam masa terde­kat,” katanya.