Timbalan Presiden Persatuan Petanque Melaka, Abd Halim Mydin berkata setakat ini pihaknya menerima penyertaan 159 pasukan bagi kategori lelaki dan lebih 70 pasukan wanita seluruh Malaysia termasuk dari luar negara antaranya Mongolia, Indonesia dan Singapura.

"Kejohanan ini mempertandingkan dua kategori utama iaitu acara double lelaki dan double wanita selain menawarkan hadiah menarik serta menambah nilai hadiah bagi setiap kategori dan hadiah untuk penyertaan peserta junior di bawah 15 tahun.

"Penyertaaan peserta setakat ini memberangsangkan dan kebiasaannya jumlah penyertaan meningkat sebelum tarikh tutup," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.


Beliau berkata kejohanan itu juga buat pertama kali dibuka kepada peserta luar negara selain mendapat kerjasama Perbadanan Stadium Hang Jebat dan Kelab Sukan Penjara Sungai Udang dan sokongan Persekutuan Petanque Malaysia (PPM).


Abd Halim berkata kejohanan tahunan yang diadakan di Melaka itu juga dikenali sebagai 'Grand End of The Year' sebagai penutup tirai pertandingan petanque di Malaysia.


Beliau berkata kejohanan itu menawarkan hadiah RM3,000 bagi johan lelaki, tempat kedua (RM2,000), ketiga RM800 manakala bagi johan wanita akan membawa pulang wang RM2,000 untuk johan, kedua RM1,000 dan Ketiga RM600.


Dalam pada itu Abd Halim berkata pihak persatuan juga berhasrat kejohanan itu menjadi penunjuk prestasi utama (KPI) persatuan dalam melahirkan bakat baharu untuk diketengahkan selain menjadi medan persiapan pasukan Melaka menghadapi kejohanan yang bakal disertai sama ada dalam negara mahupun di luar negara. - BERNAMA