Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, melalui peruntukan itu yang diluluskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini, sebuah bangunan baharu dua tingkat akan dibina bersebelahan bangunan muzium sedia ada dan ia dijangka akan dilaksanakan tahun ini.

"Sebelum ini saya mencadangkan dalam mesyuarat Exco supaya Muzium Warisan di Alor Gajah dipindahkan ke Muzium Warisan dan Sejarah Naning untuk disatukan namun kerajaan negeri telah membuat keputusan supaya muzium warisan itu kekal di lokasi asal.

"Keputusan juga dibuat di mana kita akan bina bangunan baharu dengan peruntukan sebanyak RM2.9 juta yang diluluskan kerajaan negeri dan saya berharap langkah ini dapat mempromosikan muzium tersebut kepada pelancong seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Sehari Muzium bersama Komuniti anjuran Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) di Muzium Warisan dan Sejarah Naning, di sini sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas.

Muzium Warisan dan Sejarah Naning yang beroperasi di sebuah rumah banglo kerajaan di Simpang Ampat mula beroperasi mulai 18 Mei tahun lalu dan sehingga kini telah menerima lebih 5,000 pengunjung khususnya pelajar dan murid sekolah.

Muzium tersebut mempamerkan sejarah dan fakta-fakta tepat mengenai kewujudan, budaya dan warisan peninggalan masyarakat Naning yang terkenal suatu ketika dahulu dan dibuka setiap hari kecuali pada hari Isnin bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Latipah berkata, kerajaan negeri amat berharap muzium tersebut dapat terus dijadikan lokasi lawatan pelajar dari seluruh negara bagi mengetahui fakta-fakta sejarah mengenai masyarakat Naning yang terkenal suatu ketika dahulu termasuk pahlawannya, Dol Said.

Sementara itu, pelbagai program diadakan sempena Sehari Muzium bersama Komuniti yang dihadiri kira-kira 200 peserta termasuk pengenalan kepada permainan tradisional, pertandingan anyaman dan gubahan kreatif serta cabutan bertuah.

Pada program itu Latipah turut melancarkan Pakej Lawatan Ilmiah muzium tersebut termasuk lawatan berpandu di muzium, tayangan video serta lawatan ke Makam Dol Said dan Tapak Batu Megalit di Taboh Naning dengan bayaran RM12 setiap seorang. - UTUSAN ONLINE