Ibu bayi, Maslina Abdul Jabbar,31, berkata, bayinya Nurul Jalwa Nor Fazizal yang disahkan menghidap penyakit itu sejak berusia 69 hari kini menerima rawatan di Pusat Program Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Kuala Lumpur.

Nasib anak keempat wanita itu turut mendapat perhatian Pertubuhan Insan Sejati Malaysia (Perkisma) Melaka yang menggerakkan kutipan derma kilat untuk bayi berkenaan.

“Saya terharu atas tindakan pihak yang peka dengan nasib anak kami dengan mengumpul dana untuk membolehkan bayi kami menjalani pembedahan di China tidak lama lagi.

“Bagi menjayakan pembeda­han itu saya akan menjalani sa­ringan sama ada layak untuk mendermakan hati kepada anak atau sebaliknya pada 18 Julai ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Per­kisma Melaka, Mohd. Asri Ramli berkata, pihaknya mengetahui penderitaan bayi itu setelah dimaklumkan oleh seorang individu dan terus ke rumah bayi berkenaan di Kuala Sungai Baru, Masjid Tanah.

“Bila kami dapat tahu, kami terus turun padang menjejaki keluarga berkenaan untuk menyelami masalah yang dihadapi bayi itu dan menggerakkan tabung sebagai usaha untuk membantu Nurul Jalwa.

“Selain menggerakkan tabung kilat, kami juga berkongsi maklumat kepada orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook kerana tahu keprihatinan rakyat negara ini untuk sama-sama membantu,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini hasil kutipan berjumlah kira-kira RM2,000 telah disalurkan ke dalam akaun ibu bayi tersebut.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Hasmorni Tamby berkata, Jawatankuasa Pemba­ngunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi akan membawa perkara itu ke peringkat kerajaan negeri.

“Buat masa ini, kami masih berusaha mendapatkan sumba­ngan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk keluarga Nurul Jalwa bagi meringankan beban mereka,” katanya.