Cadangan itu disuarakan Timbalan Menteri Pelancongan dan kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin iaitu Melaka menjadi negeri yang mewujudkan sebuah pusat sehenti supaya segala hasil produk khususnya kraf dikumpul di satu tempat bagi memudahkan pengusaha untuk mempamerkan barangan ciptaan mereka.

Katanya, selain mengumpul pengusaha di bawah satu bumbung, produk-produk hasil kraf itu juga mudah dilihat atau dilawati oleh pelancong dari dalam dan luar negara untuk melihat sendiri bagaimana ia dihasilkan.

“Saya mencadangkan agar diwujudkan pusat sehenti dan jika boleh ia diwujudkan di Masjid Tanah atau mana-mana lokasi se­suai di Melaka untuk memasarkan produk-produk kraf yang datang dari negeri ini.

“Tujuan pusat sehenti ini diwujudkan bagi membolehkan produk-produk Sa­tu Daerah Satu Industri (SDSI) yang melibatkan kraf dapat diletakkan di situ termasuk anyaman rotan, mengkuang, parang dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata demikian selepas merasmikan program Semarak Seni Kraf iaitu satu projek Kraf Kampungku (KKK) anjuran Kraftangan Malaysia di Dewan Tan Sri Dr. Abu Seman di Paya Rumput di sini.

Projek KKK di bawah SDSI yang diperkenalkan sejak 2016 membolehkan penduduk di sekitar Masjid Tanah mendapat pendedahan dan ilmu pengetahuan tentang produk-produk kraf tangan seterusnya mempromosikan produk ciptaan mereka.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian itu, Saraya Arbi; Pengerusi Krafta­ngan Malaysia, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Ibrahim Ismail.

Mengulas lanjut, Mas Ermie-yati berkata, langkah mewujudkan pusat sehenti itu juga memberi peluang kepada pelancong melihat sendiri bagaimana sesuatu kraf itu dihasilkan tanpa perlu pergi ke mana-mana bengkel yang terdapat di merata-rata lokasi di negeri ini.

“Jika diwujudkan, ia bukan sahaja menjadikan pusat sehenti sebagai tempat tumpuan pelancong malah hasil jualan pengusaha juga bakal meningkat menerusi kepelbagai produk yang dipamerkan,” katanya.

Sementara itu, program KKK di sini merupakan yang keenam diadakan oleh Kraftangan Malaysia selepas Kuala Kangsar, Perak; Keningau, Sabah; Lawas, Sarawak; Pekan, Pahang dan Besut, Terengganu sejak 2016.

Sepanjang Program Semarak Seni Kraf di Masjid Tanah, tiga makmal atau bengkel pemba­ngunan produk kraf baharu iaitu berasaskan parang, mengkuang dan rotan diadakan bermula pada 10 hingga 13 April lalu melibatkan penyertaan 47 orang peserta.