Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, usaha tersebut telah mula dilaksanakan di peringkat negeri termasuk program pengumpulan sisa makanan oleh SWM Environment untuk menghasilkan baja kompos dan sebagainya.

Menurutnya, inisiatif berkenaan amat bersesuaian dalam usaha kerajaan menangani isu pengurusan sisa pepejal termasuk 40 peratus daripadanya merupakan sisa makanan.

"Kalau kita lihat sekarang, pengurusan sisa pepejal ini mengambil belanja yang cukup besar dengan anggaran kos sebanyak RM60 juta setahun. Jadi, kita akan memaksimakan penggunaan ini supaya tidak membelanjakan kos yang banyak bagi menguruskannya.

"Jika kita boleh kurangkan sisa makanan ini sama ada dari segi jumlahnya atau memanfaatkan industri baja ini maka kita boleh jimatkan hampir RM24 juta daripada RM60 juga yang dibelanjakan kerajaan," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri dan Pelancaran #IniRumahKita di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini sebentar tadi.

Jelas beliau, selain inisiatif tersebut, kerajaan negeri juga akan melihat program-program lain termasuk mengkaji semula kaedah untuk mengurangkan dan mengitar semula sampah dan sebagainya.

"Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) memang ada program-program ini cuma setakat ini ia hanya berskala kecil dan kita harap kerjasama dengan pihak luar dapat membantu menjayakannya termasuk penghasilan baja kompos.

"Antaranya dengan mengadakan kerjasama bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mempunyai kepakaran untuk memproses sisa makanan menjadi baja dalam masa singkat. Ini kita akan laksanakan di peringkat dewan undangan negeri (DUN)," tambahnya.