Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, inisiatif ke arah kebaikan yang diambil MPKK itu akan dinilai di peringkat kerajaan negeri bagi melayakkan mereka menerima pengiktirafan dalam bentuk sokongan teknikal dan kewangan.

Menurutnya, pengiktirafan berkenaan bertujuan membantu MPKK untuk lebih berdaya saing serta berusaha memajukan kampung dari pelbagai segi melalui pendekatan inovasi dan kreatif.

“Kerajaan negeri bercadang untuk memberi pengiktirafan dari dua segi kepada MPKK yang berinovasi ini dan usaha ke arah itu akan diperhalusi oleh Exco kerajaan negeri.

“Buat masa sekarang, dianggarkan sekitar 20 peratus daripada 316 MPKK seluruh Melaka telah memulakan program inovasi baharu ini dan penilaian akan dibuat pada penghujung 2019,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Taklimat MPKK negeri 2019 di Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan negeri, Ginie Lim Siew Lin. - UTUSAN ONLINE