Reptilia seberat 130 kilogram itu berjaya ditangkap oleh tiga orang penduduk sebelum sempat membaham beberapa ekor ayam yang dipelihara dalam bangsal itu kira-kira pukul 5.45 petang.


Menurut salah seorang penduduk, Ibrahim Mat, 56, dia menyedari kehadiran ular tersebut sewaktu hendak mengemas bangsal tersebut.


“Saya nampak ular itu sedang tidur dan saya rasa haiwan itu tidak sempat makan ayam peliharaan.


“Selepas memanggil abang saudara saya bersama dua rakannya, kami berjaya menangkap ular itu dengan menggunakan tali,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Menurut Ibrahim yang bekerja kampung, dia kemudian segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri yang bergegas ke tempat kejadian tidak lama kemudian.


Katanya, dia percaya ular itu datang dari kawasan semak berhampiran ladang kelapa sawit yang ketika ini sedang dibersihkan.


Sementara itu, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.05 petang dan empat anggota dikejarkan ke lokasi.


“Setiba di tempat kejadian, terdapat seekor ular sawa ditangkap oleh penduduk kampung dan diikat menggunakan tali.


“Anggota APM kemudian menggunakan peralatan penjerut untuk mengangkat reptilia tersebut dalam masa kira-kira 10 minit,” katanya sambil memberitahu ular tersebut ditempatkan sementara di tempat simpanan haiwan di pejabat APM Melaka di sini. - UTUSAN ONLINE