Sebanyak 80 karya mempesonakan hasil karya dua artis terkemuka negara iaitu Dr. Nor Azlin Hamidon dan Zainurrahman Afandi menjadi tatapan pengunjung yang hadir.

Timbalan Pengerusi Perbada­nan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Hamdin Abdollah berkata, pameran yang memaparkan keindahan khat itu dapat memberi pendedahah kepada masyarakat mengenai keunikan seni Islam tersebut yang kian berkembang dan diminati.

“Saya juga berharap pameran seumpama ini dapat membuka minat orang ramai untuk memperolehi karya seni khat untuk dijadikan hiasan rumah selain menjadi koleksi berharga kepada peminatnya,” katanya ketika berucap merasmikan pameran itu, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Nor Azlin dalam ucapannya berkata, pemilihan tajuk ‘Munajat’ itu berkait rapat dengan karya-karya yang dipamerkan terdiri daripada poto­ngan ayat suci al-Quran serta doa.

“Karya-karya yang dipamer itu dihasilkan melalui pelbagai gaya dan warna menggunakan media akrilik, kolaj dan campuran,” tambah beliau.

Nor Azlin yang juga pensyarah kanan di Jabatan Kesenian Melayu, Universiti Malaya pernah menerbitkan sebuah buku dan pelbagai rencana serta bab dalam jurnal, buku dan monograf.

Sementara itu, Zainurrahman pula merupakan pelukis terkenal dan usahawan seni khat yang kini merupakan salah seorang penulis al-Quran Mushaf Malaysia dan al-Quran Mushaf Mahathir edisi koleksi peribadi.