Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam), Datuk Amirudin Yusof berkata, Kedutaan AS memilih Melaka melaksanakan program berkenaan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti dalam Minggu Teknologi Hijau sejak 14 tahun lalu malah komited untuk meneruskannya pada masa akan datang.

Menurutnya, usaha berkenaan jelas memberi banyak manfaat kepada golongan pelajar dan guru terutamanya berkaitan bahan penerbitan dan rakaman selain ilmu terkini mengenai gajet ICT termasuk iMac, iPad, Kindle, Wii, XBox dan sebagainya.

"Perpustam sangat bertuah kerana American Spaces membawa beberapa pakarnya dari AS untuk berkongsikan idea serta maklumat kepada masyarakat di negeri ini melalui bengkel, seminar dan forum.

"Malah lebih daripada itu, Perpustam turut mewujudkan sudut American Corner sejak Oktober 2003 dengan menyediakan pelbagai bahan nilai tambah daripada negara luar yang telah memberi banyak kesan baik terhadap mutu perkhidmatan Perpustam selain memberi peluang kepada orang ramai menguasai gajet ICT terkini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada majlis perasmian program Minggu Teknologi Hijau di Perpustakaan Awam Melaka, Bukit Baru, di sini baru-baru ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Perpustam, Datuk Ahmad Ruslie Joharie; Pengarah Perpustam, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris dan Pegawai Hal Ehwal Kebudayaan Kedutaan Amerika Syarikat, Sarah Talalay.

Sementara itu jelas Amiruddin, program Minggu Teknologi Hijau berkenaan merupakan kerjasama kali kedua antara Perpustam dan American Spaces sejak kejayaan program pertama pada 2015.

"Program ini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan membina pengetahuan orang ramai terhadap kepentingan teknologi hijau dalam kehidupan," ujarnya.

Katanya lagi, Minggu Teknologi Hijau yang bermula sejak 29 Julai lalu turut merangkumi pertandingan mencipta bahan daripada produk kitar semula membabitkan kategori sekolah rendah dan menengah seluruh Melaka.

"Bukan itu sahaja, terdapat banyak lagi aktiviti diadakan sepanjang minggu tersebut termasuk tayangan filem berkaitan kesedaran menjaga alam sekitar serta berkenaan teknologi hijau, Kem Belia Hijau, program Green Talk serta pameran daripada beberapa agensi kerajaan," tambahnya.